KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi masih belum memberi keputusan berkenaan kuota haji tambahan 5,000 jemaah Malaysia walaupun kerajaan telah membuat rayuan permohonan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sehingga kini tiada kata putus daripada Arab Saudi dan kerajaan Malaysia masih menunggu hasil rayuan itu.
“Setakat ini belum ada apa-apa makluman daripada pihak (Kerajaan Arab Saudi). Doa-doalah,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Reruai dan Pelancaran Buku Baharu Terbitan Jakim di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTCKL), di sini hari ini.
Baru-baru ini, Malaysia membuat rayuan memohon kuota tambahan 5,000 jemaah rakyat negara ini kepada kerajaan Arab Saudi bagi menunaikan haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, permohonan itu bagaimanapun bergantung kepada kelulusan dan bidang kuasa Kerajaan Arab Saudi.
“Kita buat rayuan sekali lagi kepada mereka (kerajaan Arab Saudi) bagi menambah kuota sebanyak 5,000 jemaah haji lagi untuk tahun ini. Kita telah berusaha mendapatkan tambahan kuota haji untuk jemaah Malaysia namun tidak dapat memberi jaminan sama ada akan diluluskan atau tidak oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya seperti dilaporkan.
Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai sejuta jemaah bagi tahun 2022 dengan 85 peratus daripadanya merupakan jemaah dari luar. Daripada jumlah itu, kuota haji Malaysia sebanyak 14,306 orang berbanding 31,600 orang jemaah sebelum ini. – UTUSAN










