Rasuah perolehan kesihatan: 25 kertas siasatan dibuka - Utusan Malaysia

Rasuah perolehan kesihatan: 25 kertas siasatan dibuka

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 25 kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan perolehan perkhidmatan kesihatan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, beberapa individu tertentu sudah dipanggil termasuk sedang menilai agensi-agensi yang mempunyai kaitan dengan pengurusan Covid-19.

“Setakat ini (SPRM) sedang menyiasat pelbagai isu berkaitan (pembelian dalam sektor kesihatan negara) khususnya berkaitan pengurusan Covid-19 ketika tempoh wabak itu berlaku hingga sekarang.

“Setakat ini kita sudah menerima laporan daripada pelbagai pihak dan kita sudah membuka sebanyak 25 kertas siasatan namun saya tidak mahu menamakan mana-mana agensi.

“Siasatan ini adalah berkaitan pengurusan Covid-19 sehingga tempoh sekarang dan pelbagai aspek akan kita maklumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemantapan Wartawan Bersama SPRM, di sini hari ini.

Sebelum ini, Azam mendedahkan pihaknya menjalankan siasatan kegiatan itu antaranya membabitkan salah guna kuasa dalam agihan bantuan dan pakej rangsangan ekonomi.

Siasatan turut dilakukan membabitkan penipuan berkaitan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan (topeng muka, sarung tangan dan lain-lain) dari segi kuantiti dan kualiti peralatan perubatan yang lebih rendah.

Ini termasuk menyiasat aktiviti rasuah membabitkan pegawai penguat kuasa dalam barisan pasukan penguat kuasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu Azam berkata, pihaknya akan melihat keperluan untuk memanggil bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bagi membantu perjalanan siasatan kes berkenaan.

Dr. Adham dalam keterangan sebelum ini pernah menegaskan bahawa beliau bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM jika diperlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya