PETALING JAYA: Royalti, isu yang tiada berkesudahan. Sehingga kini, masih ramai lagi anak seni yang terpaksa ‘mengemis’ wang mereka sendiri sehingga ada yang sudah malas dan berputus asa.
Itu pendedahan disuarakan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez apabila ditanya berhubung masalah royalti yang sekian lama membelenggu industri muzik tanah air.
Jelas Freddie, pelbagai usaha sudah dilakukan namun sehingga kini, badan yang bertanggungjawab dan pihak kerajaan sendiri seperti mendiamkan sahaja isu tersebut.
“Kerajaan perlu ambil berat. Begitu juga dengan agensi yang bertanggungjawab. Karyawan bukan badan royalti, kita cuma boleh menyuarakan keluhan rakan artis.
“Tetapi sehingga sekarang tak ada apa-apa tindakan. Dulu kerajaan mahu tubuhkan badan khas royalti tetapi itulah, belum nampak sinarnya lagi.
“Saya harap isu ini tidak lagi dipandang sebelah mata. Ada anak seni yang terpaksa melupakan sahaja perjuangan itu. Sehingga sekarang masih tiada apa-apa hasilnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Freddie berkata, pihaknya bakal mengadakan satu perhimpunan khas yang akan dihadiri rakan artis untuk memberi idea serta mengumpul memorandum untuk dihantar ke pihak kerajaan.
“Kami sedang susun tarikh yang bersesuaian. Kami akan panggil artis yang mempunyai masalah berhubung royalti dan membuka ruang perkongsian idea.
“Malah, kami juga merancang untuk menghantar memorandum kepada pihak kerajaan supaya isu ini tidak berlarutan dan pihak yang bertanggungjawab tidak lepas tangan,” katanya. – UTUSAN










