Ramai graduan wanita pilih keluarga berbanding kerjaya - Utusan Malaysia

Ramai graduan wanita pilih keluarga berbanding kerjaya

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 8 Jun 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: “Peluang kerja itu ada. Tapi, buat masa ini, saya memilih untuk mengutamakan keluarga.”

Itu kata Syahida Abdull Aziz, 37, yang juga graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari sebuah universiti di utara tanah air sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurut Syahida, dia pernah bertugas sebagai pegawai kerajaan bertaraf kontrak sebelum ini, namun memutuskan menjadi suri rumah sepenuh masa selepas mengikut suaminya yang ketika itu bertugas di negeri yang berbeza.

“Walaupun tidak bekerja makan gaji seperti graduan lain, di rumah saya adalah ‘guru’ kepada anak-anak saya.

“Dalam hal ini, keluarga menjadi keutamaan saya berbanding hal-hal lain,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu yang kini turut menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan tentang sikap majikan yang mengamalkan diskriminasi jantina menyebabkan jurang ketara antara pekerja lelaki dan wanita meningkat 39 peratus meskipun golongan hawa mendominasi bilangan graduan institusi pengajian tinggi ketika ini.

Dalam pada itu, seorang lagi graduan, Nuramiza Abdul Rahman, 25, berpendapat, isu diskriminasi jantina dalam pekerjaan tidak seharusnya timbul ketika dunia sedang menuju ke era globalisasi.

“Ketika ini, ramai wanita telah setanding dengan lelaki dari segi pencapaian akademik, malah, ada yang lebih berkelulusan daripada lelaki.

“Mungkin tuntutan fitrah seorang wanita itu sebagai ibu contohnya mendorong dia mengutamakan keluarga daripada kerjayanya dan saya juga mungkin tidak terkecuali selepas ini,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran itu yang kini menjalankan perniagaan pakaian secara dalam talian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN