Rai pekerja pembersihan , wira yang tidak didendang

Rai pekerja pembersihan, wira yang tidak didendang

RIZALMAN Mokhtar menyantuni pekerja pembersihan sempena Hari Pekerja Pembersihan 2022 di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hari Pekerja Pembersihan. Tentunya ramai yang tidak tahu adanya hari berkenaan yang disambut bagi menghargai dan meraikan para pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan termasuk di kawasan perumahan.

Menyedari ramai yang tidak tahu kewujudan hari tersebut, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp.) mengambil kesempatan menyantuni pekerja pembersihan di Dataran Danau Lumayan di sini kelmarin.

Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, banyak perkara yang dilakukan pekerja pembersihan dalam mewujudkan persekitaran yang bersih dan kesejahteraan kepada masyarakat.

“Banyak perkara yang mereka lakukan untuk memberi ke­sejahteraan kepada kita, jadi kita kena memberi penghargaan ke atas usaha-usaha yang mereka lakukan.

“Boleh bayangkan kalau tak ada yang nak bekerja dalam industri ini, jadi siapa mahu uruskan sampah kita? Jika kita boleh ingat 16 Mei adalah sam­butan Hari Guru, kita juga mahu masyarakat mengingati tarikh 17 Jun sebagai sambutan Hari Pekerja Pembersihan,” katanya.

SWCorp merupakan agensi penguatkuasaan persekutuan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang beroperasi di tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Me­laka, Pahang dan Johor.

SWCorp mempunyai seramai lebih 27,000 pekerja pembersihan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di tujuh negeri.

Kebanyakan pekerja pembersihan di bawah SWCorp juga mempunyai sijil kemahiran kebersihan melalui program yang dilaksanakan agensi itu bagi memberi peluang kepada pekerjanya bekerja dengan lebih mahir lagi.

Rizalman berkata, masyarakat tidak boleh menganggap karier dalam industri pembersihan sebagai satu perkara yang remeh.

Malah, katanya, masyarakat patut berterima kasih terhadap apa yang dilakukan oleh pekerja pembersihan di kawasan persekitaran mereka.

“Cuma kita minta di samping kita ada perasaan terima kasih, melalui sambutan Hari Pekerja Pembersihan ini, kita mahu mereka menzahirkan ucapan terima kasih itu mungkin de­ngan senyuman dan penghargaan kepada pekerja pembersihan.

“Contoh, sediakan nasi lemak kepada pekerja pembersihan yang mengutip sampah di rumah saya. Mereka pun sebenarnya tak tahu (Hari Pekerja Pembersihan), jadi kita mahu sedarkan tuan punya tubuh dan masyarakat bahawa ini adalah hari yang wajar diraikan,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN