giat berlatih

Qari, qariah negara buat persiapan rapi untuk tilawah antarabangsa

Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan diberi ciuman tahniah oleh ibunya, Umi Kalsum Sukri dan bapanya, Mohamad Ramlan selepas muncul johan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022 di Pusat Islam Iskandar Johor Bahru, malam tadi. -UTUSAN/RAJA JAAFR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Qari dan qariah terbaik Majlis Tilawah Dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1443/2022M bertekad melakukan latihan intensif bagi mempersiapkan diri mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa yang dijadualkan Oktober ini.

Qari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, 24, menganggap kejayaan dinobatkan johan tilawah sebagai rezeki yang tidak disangka memandangkan ini adalah penyertaan pertamanya  selepas kecundang di peringkat negeri sejak usia 18 tahun.   

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu gembira dan terharu dengan penganugerahan tersebut bagi membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, piala iringan dan tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji.

“Sejak usia 18 tahun, ini adalah pertama kali saya menjadi johan di peringkat negeri bagi mewakili Perak, seterusnya muncul johan di peringkat kebangsaan. Sukar untuk menggambarkan betapa gembiranya saya pada malam ini.

“Insya-Allah saya perlu berusaha lebih keras mempersiapkan diri mewakili Malaysia dalam saingan peringkat antarabangsa dengan berguru dengan lebih ramai ustaz yang pakar dalam bidang ini termasuk hakim MTHQK.

“Taranum ini perlukan latihan yang kerap sebab perlu ada kematangan dari segi bacaan dan tajwid, dari segi berlagu itu saya yakin boleh buat dan perlukan latihan lebih giat untuk memperkemaskan bacaan,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Sementara itu, Sofizah Mousin, 33, yang terpilih sebagai qariah terbaik turut berkongsi perasaan sama dan mengakui amat bertuah setelah memenangi gelaran tersebut buat pertama kali dalam penyertaan kali ketiganya pada pentas MTHQK.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman SEA, SS2 Petaling Jaya, Selangor mengakui tidak dapat membuat persiapan rapi setelah kedua-dua anak perempuannya yang berusia 14 bulan dan empat tahun sakit, dua minggu sebelum majlis berlangsung.

“Alhamdulillah dalam kesibukan menjaga anak-anak, saya dapat curi masa untuk berlatih dan memperkemaskan bacaan sebelum bertanding. Oleh itu, saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk muncul johan bahagian qariah ini.

“Saya akan cuba buat lebih baik ketika mewakili negara nanti dengan bimbingan guru agama saya selain lebih kerap membuat latihan intensif. Walaupun ada kekangan masa oleh kerana tugas harian, saya akan pastikan mempunyai cukup masa untuk berlatih,” katanya. 

Wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu berkata, setiap hari dia akan membuat latihan suara ketika memandu kereta dalam perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja.

Bagi johan hafiz tahap 1-30 juzuk beserta tafsir, Abdullah Ulwan Ismail dari Kelantan berpuas hati dengan pencapaian semasa pengujian oleh juri sehingga berjaya peroleh markah tertinggi, iaitu 97.25 peratus untuk memenangi kategori tersebut buat kali kedua di pentas MTHQK.

Pelajar berusia 25 tahun itu berkata, amalan membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu juzuk selepas solat Subuh setiap hari membantu menguatkan ingatan bagi menghafal 30 juzuk dan terjemahannya.

“Ini adalah kali keempat saya ke peringkat kebangsaan dan johan buat kali kedua untuk tahap 1-30 juzuk, pertama kali menang pada MTHQK di Negeri Sembilan pada 2019. Walaupun tak mencapai markah penuh, saya lega dapat buat yang terbaik dan mungkin malam ini adalah rezeki saya.

“Untuk menguatkan hafazan, kita tak boleh tinggal lama daripada mengaji al-Quran, sekurang-kurangnya satu juzuk sehari dan lebih banyak baca adalah lebih elok. Untuk persiapan mewakili negara nanti, saya akan luangkan masa dua ke tiga jam sehari membaca al-Quran, sesibuk mana pun, tetap baca walaupun sedikit,” katanya.

Kesemua pemenang akan mewakili Malaysia dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 17 hingga 22 Oktober ini.. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN