Pulau Pinang laksana semula kutipan fi hotel mulai 1 Julai - Utusan Malaysia

Pulau Pinang laksana semula kutipan fi hotel mulai 1 Julai

YEOH Soon Hin (dua dari kanan) ketika mengadakan perjumpaan bersama pemain industri pelancongan di Georgetown, Pulau Pinang hari ini bagi mengumumkan pelaksanaan semula kutipan fi di hotel-hotel berdaftar di negeri itu mulai 1 Julai ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pulau Pinang akan melaksanakan semula kutipan fi di hotel-hotel berdaftar di negeri itu mulai 1 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) negeri, Yeoh Soon Hin berkata, kadar bayaran fi adalah tetap sama seperti sebelum ini iaitu bagi hotel empat dan lima bintang adalah RM3 (satu bilik/satu malam) dan kadar RM2 (satu bilik/satu malam) bagi hotel tiga bintang dan ke bawah termasuk ‘dormitory’; hotel bajet; asrama dan rumah tumpangan.

“Kegiatan aktiviti pelancongan telah rancak semula sejak pembukaan kembali pintu sempadan negara pada 1 April lalu dan  Pulau Pinang juga amat menggalakkan. Oleh itu, setelah mengadakan perbincangan dengan pemain-pemain industri dan mendapat persetujuan mereka, kita akan melaksanakan semula kutipan fi hotel di hotel-hotel berdaftar mulai 1 Julai ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel Pulau Pinang, Datuk Lim Mee Lee; Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia, Andy Lau dan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, Tony Goh.

Menurut Soon Hin, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan kepada penggiat-penggiat industri pelancongan dan ekonomi kreatif sejak penularan wabak Covid-19 termasuk inisiatif pengecualian fi hotel sejak 1 Julai 2020 sehingga 30 Jun 2022.

”Sebelum pandemik, pendapatan yang dapat dijana menerusi kutipan fi hotel ini adalah lebih RM5 juta. Fi hotel merupakan salah satu sumber pendapatan yang amat penting kepada negeri untuk membantu aktiviti promosi dan pemasaran serta pembangunan sektor pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu Andy Lau berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan negeri melaksanakan semula kutipan fi hotel dan berharap pendapatan yang dijana menerusinya dapat meningkatkan lagi promosi Pulau Pinang ke peringkat antarabangsa.

”Sumber pendapatan ini adalah penting untuk Pulau Pinang mengadakan promosi pelancongan negeri ini ke peringkat antarabangsa. Kami menyokong usaha ini dan berharap industri pelancongan Pulau Pinang akan terus berkembang dan mampu menarik pelancong antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya