Pulau Pinang harap imigresen segera buka sempadan laut untuk kapal persiaran - Utusan Malaysia

Pulau Pinang harap imigresen segera buka sempadan laut untuk kapal persiaran

PULAU PINANG berharap Jabatan Imigresen akan segera membuka sempadan laut negara untuk membolehkan kapal persiaran antarabangsa kembali membawa pelancong ke negeri itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap Jabatan Imigresen akan segera membuka sempadan laut negara untuk membolehkan kapal persiaran antarabangsa kembali membawa pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, Pulau Pinang kesal kerana sempadan laut untuk kapal-kapal persiaran antarabangsa memasuki negara ini khususnya Pulau Pinang masih ditutup.

”Kita memang tunggu kedatangan kapal persiaran antarabangsa ini kerana pelancong asing banyak memasuki Pulau Pinang dengan menggunakan kapal persiaran.

”Kami berharap Jabatan Imigresen dapat mempercepatkan proses pembukaan sempadan laut ini, melalui udara pelancong sudah boleh memasuki negara kita, takkan menerusi laut tidak boleh lagi,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Terdahulu Gooi Hsiao Leung (PKR- Bukit Tengah) meminta penjelasan daripada Soon Hin mengenai sempadan laut negara yang masih ditutup.

Menurut Soon Hin, pemain-pemain industri pelancongan di Pulau Pinang memperoleh banyak manfaat sekiranya kapal persiaran antarabangsa kembali memasuki negeri ini.

Dalam pada itu, Soon Hin berkata, industri pelancongan adalah antara tonggak ekonomi yang penting kepada Pulau Pinang ketika pra pandemik dan pelbagai usaha telah dikendalikan bagi mengembalikan prestasi industri pelancongan.

Katanya, antara usaha itu termasuk menaik taraf infrastruktur pelancongan dan kepelbagaian produk pelancongan.

Jelas beliau, penaiktarafan Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) telah bermula sejak 2020 dan akan dilakukan dalam empat fasa iaitu Fasa 1A, 1B, 2 dan 3 dan sehingga kini, Fasa 1A telah disiapkan.

Tambahnya, Fasa 2 and 3 iaitu New Homeport Terminal dianggarkan berjumlah RM55 juta dan akan melibatkan kerja-kerja penambahbaikan terminal, penstrukturan semula terminal sedia ada; penambahan laluan penghubung baharu dan sebagainya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN