PRU15 paling cepat Oktober

PRU15 paling cepat Oktober

RAMAI menjangkakan PRU15 paling awal diadakan pada Oktober ini dengan mengambil kira tiga tarikh penting iaitu penerbangan pulang terakhir jemaah haji, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Spekulasi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin kuat dibincangkan apabila ramai pemerhati politik membayangkan ia dijangka berlangsung paling awal pada Oktober ini.

Jangkaan tersebut mengambil kira tiga faktor iaitu tarikh akhir penerbangan pulang jemaah haji Malaysia dari tanah suci pada 13 Ogos ini, sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan membayangkan pembubaran Parlimen selepas 31 Julai dengan melihat tarikh akhir memorandum persefahaman kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dan selepas sidang Parlimen bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada 18 Julai.

AHMAD MASLAN

Bagaimanapun, katanya, segalanya terserah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memperkenan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen.

“Tidak mungkin Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, paling penting adalah diluluskan undang-undang Anti Lompat Parti terlebih dahulu sebelum mengadakan pilihan raya. Isu ayam dan inflasi tidak perlu dijadikan alasan menangguhkan pilihan raya kerana masalah ini hanyalah berkala dan sementara.

“Keputusan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang mahu diadakan tahun ini bukanlah dibuat oleh kepemimpinan parti tetapi ahli-ahli termasuk komponen sendiri yang mahu PRU15 disegerakan,” katanya.

KERATAN akhbar laporan muka depan Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kebanyakan pegawai daerah dan petugas di seluruh negara telah dipanggil mengikuti taklimat perjalanan pilihan raya secara berperingkat-peringkat sekali gus membayangkan PRU15 semakin dekat.

Malah spekulasi pembubaran Parlimen Ke-14 semakin bertiup kencang apabila ada dalam kalangan ahli Parlimen menerima emel bagi tujuan penamatan pembayaran faedah daripada Pejabat Parlimen Malaysia meminta supaya mereka mengemas kini maklumat Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen (APAD).

ABDULLAH SANI ABDUL HAMID

Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, Pakatan Harapan (PH) dan PKR bersedia pada bila-bila menghadapi PRU15 walaupun menyifatkan pilihan raya dalam masa terdekat sebagai satu tindakan tidak masuk akal.

Ujarnya, kerajaan perlu menimbang pelbagai perkara sebelum membubarkan Parlimen termasuk menangani masalah rakyat yang kini dihimpit dengan kos sara hidup dan kenaikan inflasi.

“Apakah logik ketika rakyat menderita, mereka memikirkan untuk mengadakan pilihan raya. Adakah ini sebagai satu tindakan tidak masuk akal? Biarlah selesaikan dahulu masalah, barulah berfikir mengadakan PRU15,” katanya.

MAZLAN ALI

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali pula berkata, PRU15 mungkin diadakan pada 2023 meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan tidak melewatkannya walaupun sesaat di hadapan ahli-ahli BN,baru-baru ini.

Jelas beliau, kerajaan kini dilihat berusaha menyelesaikan masalah berbangkit seperti kenaikan harga barangan dan inflasi terlebih dahulu kerana langkah membubarkan Parlimen memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi negara.

“Saya rasa tiada sebab untuk Parlimen dibubarkan untuk PRU15 kerana Pakatan Harapan tetap memberi sokongan kepada kerajaan sekalipun MoU tamat bulan depan, maka tiada keperluan pun mengadakan pilihan raya sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN