ALOR SETAR: UMNO Bahagian Alor Setar mencadangkan agar kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) mengkaji semula pemilihan calon berdasarkan kerusi boleh menang tetapi kalah semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai rangka baharu menghadapi PRU-15.
Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, naratif parti untuk mengekalkan calon berdasarkan kerusi tradisi sesebuah parti itu perlu dikorbankan.
Katanya, langkah tepat adalah memastikan pemilihan calon yang sesuai dalam parti komponen yang lebih peratusnya mendapat kemenangan.
“Antara sebab kekalahan Barisan Nasional pada PRU-14 ialah ada parti-parti komponen yang tidak dapat menyumbang kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) disebabkan penolakan pengundi terhadap calon mereka terutama parti komponen MCA.
“Oleh itu, pada pandangan saya wajar kiranya kepemimpinan tertinggi BN melihat perkara ini dengan lebih serius untuk meletakkan calon parti dari komponen yang mempunyai kelebihan untuk menang, seperti melihat pada peratusan jumlah pengundi mengikut kaum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, sebagai contoh di Parlimen Alor Setar, pengundi Melayu melebihi 64 peratus dan calon dari MCA sudah dua kali PRU (PRU13 dan 14) ditolak oleh pengundi apabila gagal merampas kerusi itu semula. – UTUSAN