SEREMBAN: Terserah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memilih ‘khemah’ yang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan sertai bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Mahathir berhak tidak setuju dengan pemimpin-pemimpin lain, tetapi perlu diketahui ramai juga pemimpin lain tidak bersetuju dengan Ahli Parlimen Langkawi tersebut.
“Mungkin beliau ada khemah besar yang lain, kita serah kepada Tun Mahathir. Rasanya ramai juga yang tidak bersetuju dengan Mahathir.
“Sama-sama kita lihat, khemah mana yang beliau mahu pakai, kita pun tidak tahu..beliau tidak tahu khemah mana yang beliau akan pakai, tersera, kita pun tidak tahu secara terperinci,” kata Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan selepas Majlis Penyampaian Bantuan Perkapita dan Dermasiswa Kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Sembilan Bagi Tahun 2022 di sini semalam.
Aminuddin yang secara tidak rasmi terpilih sebagai Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti itu baru-baru ini mengulas demikian berhubung kenyataan Dr. Mahathir yang menolak ‘khemah besar’ jika ia diterajui Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengecewakan
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, pandangan Dr. Mahathr walaupun mengecewakan tetapi tidak memberi kesan terhadap politik negara.
Beliau berkata, Dr.Mahathir mungkin membuat kenyataan tersebut kerana berasa dirinya masih sesuai untuk mengetuai gerakan politik termasuk strategi khemah besar yang dicetuskan oleh Pakatan Harapan (PH).
“Kita semua sudah tahu zaman beliau sudah pun berakhir dan sebelum ini peluang telah diberikan kepada Tun Dr. Mahathir untuk menerajui kerajaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Naib Presiden PKR, Tian Chua pula berkata, Dr. Mahathir seharusnya meletakkan kehendak rakyat sebagai keutamaan dan mengetepikan soal peribadi terhadap kedua-dua pemimpin itu sekali gus mencetuskan perselisihan antara mereka.
Bekas ahli Parlimen Batu itu menegaskan, semua parti diminta tidak meletakkan ‘prasyarat’ hanya disebabkan masalah bersifat individu sehingga menyukarkan usaha bekerjasama menjelang pilihan raya umum.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng tidak bersetuju dengan ‘syarat’ Dr. Mahathir yang menolak Anwar untuk menerajui khemah besar.
“Kalau beliau cakap tidak mahu kerjasama (dalam khemah besar), tidak mengapalah. Apa yang kami (PH) boleh buat? Jika beliau buat syarat macam ini, mahu buat apa? PH akan teruskan sahajalah dengan strategi sendiri diketuai Anwar,” katanya.- UTUSAN










