PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan diminta menjelaskan punca Semenanjung Malaysia dan Sabah terlepas peluang daripada terlibat dalam projek antarabangsa sistem kabel internet dasar laut, South East Asia Hainan-Hong Kong Express Cable System (SEA-H2X).
Ini menyaksikan satu lagi kerugian terbesar negara kerana rangkaian internet berkelajuan 5G menggunakan sistem pendawaian gentian optik standard tinggi berkapasiti 160 Tera Bits Per Second (Tbps), tidak meliputi seluruh Malaysia, sebaliknya, hanya memberi manfaat untuk rakyat di Sarawak termasuk di kawasan-kawasan pedalaman.
Walaupun syarikat China yang mengendalikan projek itu merancang memanjangkannya ke Semenanjung, namun, tidak dapat dipastikan jika ia dapat direalisasikan kerana Kementerian Pengangkutan difahamkan masih belum menyelesaikan dasar kabotajnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa, projek sepanjang 5,000 kilometer (km) yang terpaksa memintas Semenanjung dan Sabah itu berpunca daripada kegagalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menyelesaikan dasar kabotaj.
Pengerusi DAP itu berkata, keadaan tersebut secara tidak langsung menghalang pelaburan digital bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion seperti yang disuarakan bekas Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff sebelum ini.
“Malaysia kerugian disebabkan sikap angkuh dan acuh tidak acuh menteri serta timbalan menteri. Memang tidak masuk akal apabila projek ini hanya menghubungkan Sarawak. Mengapa tidak seluruh negara?
“Nampaknya apa yang dikatakan Rais Hussin sebelum ini menjadi realiti. Saya sangat kesal. Ini lebih teruk daripada kecewa, ini menyakitkan hati. Kalau Sarawak sudah ada rangkaian 5G, di Semenanjung dan Sabah masih macam ‘kura-kura’,” katanya ketika dihubungi semalam.
Guan Eng mengulas laporan Utusan Online pada 16 Mei lalu, Sarawak akan memiliki kelajuan internet 5G menerusi SEA-H2X yang menghubungkan antara Hong Kong, Hainan, Filipina, Thailand, Malaysia Timur (Kuching, Sarawak) dan Singapura yang dijangka digunakan bermula tahun 2024.
Untuk rekod, Malaysia sebelum ini dilaporkan terlepas peluang daripada tersenarai dalam negara-negara terlibat bagi projek dasar laut Apricot sejauh 12,000 kilometer akibat dasar kabotaj yang belum diselesaikan.
Projek itu menghubungkan Guam, Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Singapura yang dijangka siap pada 2024 bagi membekalkan kapasiti internet sangat diperlukan selain meningkatkan keupayaan dan capaian di rantau Asia Pasifik.
Dua projek terdahulu iaitu jaringan Echo dan Bifrost juga berdepan situasi sama didakwa disebabkan dasar kabotaj yang telah ditarik semula.
Dasar kabotaj pula adalah dasar diperkenalkan kerajaan pada tahun 1980 yang mengehadkan perkhidmatan pengangkutan kargo, penumpang sebarang bentuk pembekalan perkhidmatan perkapalan dan maritim di perairan negara ini merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (200 batu nautika dari garis pangkal pantai sesebuah negara) kepada kapal-kapal pendaftaran Malaysia sahaja.
Kapal-kapal pendaftaran Malaysia perlu memiliki Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah untuk beroperasi yang secara lazimnya dikenali sebagai perkhidmatan perkapalan domestik.
Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Kementerian Pengangkutan yang ketika itu diterajui Anthony Loke Siew Fook, mengecualikan kapal-kapal bukan Malaysia daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1) jika terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan Malaysia.
Malangnya, kehadiran Ka Siong sebagai Menteri Pengangkutan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada November 2020 menarik semula pengecualian itu menyebabkan Malaysia tercicir daripada disenarai dalam negara-negara terlibat bagi projek dasar laut Apricot. – UTUSAN