Presiden Cake meninggal dunia

Presiden Cake meninggal dunia

ALLAHYARHAM YUSOFF ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail meninggal dunia akibat sakit jantung pada usia 74 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), semalam. 

Anaknya, Mohamad Yusrizal Yusoff yang juga Setiausaha Kehormat persatuan itu berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.15 pagi selepas lebih sebulan ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) hospital berkenaan. 

Katanya, pada 16 Mei lalu, Allahyarham bapanya hadir ke HSB bagi melakukan pemeriksaan kesihatan rutin. 

“Bapa sebelum ini memang sihat dan tiada apa-apa penyakit. Namun ketika berada di hospital itu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan rutin, beliau tiba-tiba sesak nafas dan segera dimasukkan ke zon merah. 

“Bapa terus dimasukkan ke CCU untuk diberi rawatan intensif. Bagaimanapun keadaan kesihatan bapa merosot hingga beliau terpaksa ditidurkan pada 23 Mei lepas, sebelum menghembuskan nafas terakhir semalam,” katanya. 

Yusoff yang memimpin Cake sejak 1998 meninggalkan isteri, Datin Latifah Mansor serta lima anak.

Allahyarham sebelum ini cukup lantang memperjuang hak serta isu-isu kepenggunaan dengan legasinya itu kini diteruskan oleh Mohamad Yusrizal. 

Mohamad Yusrizal berkata, beliau akan menyambung perjuangan bapanya dalam menegakkan hak-hak pengguna memandangkan perkara itu disematkan dalam jiwanya sejak bangku sekolah. 

“Semua isu-isu pengguna yang saya miliki sekarang ini, datang daripada arwah bapa. Daripada beliaulah saya sedar akan pentingnya berkhidmat untuk masyarakat serta perlunya kita mempermudah kesulitan orang lain.

“Beliau jugalah yang mendidik saya mengenai isu-isu yang harus kita perjuangkan dan aduan bagaimana yang sepatutnya didahulukan. Insya-Allah perjuangan beliau itu akan saya teruskan,” katanya. 

Jenazah Yusoff selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Bukhary di Jalan Langgar, selepas solat zohor semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.