PARIT BUNTAR: Kerana tidak berpuas hati berhubung pembahagian harta, seorang lelaki tergamak membunuh dan memotong mayat ibunya kepada 15 cebisan.
Bahagian mayat yang dipotong dibuang dalam tangki kumbahan yang ditemukan di Taman Kerian di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu pada pukul 3.30 petang semalam.
Menurutnya, susulan laporan yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Unit Forensik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak segera ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan di lokasi menemukan 15 cebisan daging dipercayai anggota tubuh badan seorang wanita warga emas berusia 68 tahun.
“Susulan penemuan itu, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 42 tahun iaitu anak kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, pihak polis turut merampas sebilah pedang, dua bilah pisau dan barangan yang digunakan suspek dalam pembunuhan itu.
“Siasatan awal mendapati suspek tinggal bersama ibunya di rumah itu sejak 12 tahun yang lalu setelah kematian bapanya.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap ibunya berhubung pembahagian harta pusaka peninggalan bapanya,” katanya.
Menurutnya, suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN











