KUALA NERANG: Saranan untuk memotong gaji menteri seperti yang dicadangkan oleh seorang bekas menteri tidak akan membantu kos sara hidup rakyat hari ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebaliknya kerajaan sentiasa berusaha menangani masalah kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat terutamanya harga barangan.
Katanya, pelbagai usaha dibuat Perdana Menteri dan anggota Kabinet khususnya bagi menteri-menteri yang terbabit secara langsung dengan ekonomi dan harga barang seperti Kementerian Kewangan, ekonomi, perdagangan, pertanian serta kerja raya.
“Mereka ini akan duduk mesyuarat seminggu dua kali bagi membincangkan hal yang berbangkit dan memberi jalan penyelesaian seperti yang diumumkan Perdana Menteri mengenai tiada kenaikan tarif elektrik dan harga pasaran ayam tidak akan diapungkan.
“Sehingga kini pun kerajaan masih beri subsidi petrol RON95 kepada rakyat dengan harga RM2.05 seliter. Ini antara langkah dan keputusan yang diambil kerajaan agar tidak membebankan rakyat,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tualak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sebagai bekas menteri, pemimpin berkenaan perlu memberikan cadangan yang lebih baik atau berjumpa dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk cadangannya itu.
“Perkataan potong gaji ini seolah-olah berada dalam Dewan Rakyat, ia selalu diusulkan oleh pembangkang, bagi cadangan beliau bukan jalan penyelesaian untuk membantu rakyat meningkatkan kos sara hidup,” katanya.
Semalam, bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz mencadangkan menteri pada hari ini memotong gaji supaya dapat membantu kos sara hidup rakyat yang kini tertekan dengan masalah kenaikan harga barang terutamanya selepas krisis akibat Covid-19 dan krisis Russia-Ukraine.- UTUSAN










