Polis KL serbu 599 pusat hiburan 

Polis KL serbu 599 pusat hiburan 

AZMI ABU KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 599 pusat hiburan telah diserbu Polis Kuala Lumpur dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 sehingga awal tahun ini.

Sepanjang tempoh itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Kuala Lumpur telah menahan 2,148 orang dan merampas pelbagai jenis dadah dibawah kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, serbuan tertinggi dilakukan adalah pada 2019 dengan 295 operasi dilaksanakan.

Kata beliau, sebanyak 187 serbuan pula dilakukan pada 2020 diikuti 2021 (51 serbuan) dan Januari sehingga Jun lalu (55 serbuan).

“Sebanyak 1,268 orang telah ditahan pada 2019 diikuti 2020 (527 orang) 2021 (190 orang) dan Januari sehingga Jun lalu (160 orang).

“Sepanjang tempoh sama, lebih daripada 15 pusat hiburan yang dipercayai menjalankan aktiviti dadah telah ditutup,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lebih lanjut, kata Azmi, tindakan yang diambil Polis Kuala Lumpur bersama-sama JSJN membuktikan tindakan sentiasa diambil. 

Kata beliau, tindakan ini akan diteruskan dan dipertingkatkan bagi mengelakkan golongan belia khususnya terlibat dengan masalah dadah.

“Kita sentiasa terbuka untuk menerima sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Kuala Lumpur.

“Kerjasama daripada mana-mana pihak untuk menyalurkan maklumat melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” jelasnya.

Pada 23 Jun lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan sekurang-kurangnya 15 pusat hiburan di sekitar ibu kota dikesan menjalankan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah yang didalangi pemilik dan sindiket dadah.

Musa merangkap Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), yang mengenal pasti lokasi berkenaan melalui tinjauan di lapangan dan maklumat orang ramai.

Beliau berkata, apa yang menyedihkan, tiada sebarang tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap pusat hiburan seperti ini yang didapati semakin bermaharajalela.

Berdasarkan maklumat dan risikan kita, pusat-pusat hiburan ini beroperasi secara curi-curi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan selepas endemik, mereka meneruskan aktiviti hiburan mereka sehingga lewat pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN