Polis hantar kereta dinaiki kanak-kanak kritikal dadah ke Unit Forensik

Polis hantar kereta dinaiki kanak-kanak kritikal dadah ke Unit Forensik

MUHAMAD Zaki Harun (kanan) semasa melawat Rohaya Hasan selepas anak lelakinya berusia empat tahun yang kritikal akibat kandungan dadah dalam badan terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - FOTO/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan sudah menghantar kereta jenis Proton Saga dinaiki oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang kritikal akibat dadah ke Unit Forensik pasukan itu untuk siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian tersebut berlaku.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum kejadian mangsa dipercayai telah menaiki kereta bersama suspek yang merupakan bapa sepupunya untuk mengambil bekalan bahan terlarang itu.

“Kita tidak menolak kemungkinan terdapat lebih dadah di dalam kereta tersebut semasa suspek mengambilnya.

“Bagaimanapun, siasatan polis sedang menjalankan siasatan lebih terperinci berkait dengan kejadian ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, berdasarkan maklumat mangsa pernah dibawa keluar oleh suspek sebelum ini.

Katanya, buat masa ini polis juga belum mengetahui kandungan dadah dalam badan mangsa dan masih menunggu laporan analisa daripada pihak doktor.

“Kes ini juga tiada kaitan dengan pengabaian ibu bapa. Nasihat saya kepada ibu bapa sepaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelak kejadian itu berulang.

“Terkini kanak-kanak berkenaan masih ditidurkan dan kita simpati dengan nasib keluarga mangsa dan mendoakan supaya mangsa cepat sembuh,” ujarnya.

Susulan itu, Muhamad Zaki berkata, pihaknya telah membuat Op Tapis Khas bermula pukul 1 tengah hari sehingga 1 pagi tadi dan berjaya menahan sembilan penagih bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Katanya, kesemua penagih berusia 18 hingga 40 tahun itu diberkas dalam serbuan berasingan menerusi Op Tapis Khas yang dijalankan di sekitar Kampung Sri Mahligai, Dabong, Kuala Krai.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang sedang menerima rawatan di HRPZ II di sini dilaporkan kritikal selepas pemeriksaan mendapati tubuhnya tinggi dengan kandungan dadah jenis methamphetamine.

Kejadian itu disedari oleh ibunya kira-kira pukul 5 pagi semalam apabila mendapati kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan lemah dan muka bertukar biru sebelum membawanya ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk menerima rawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN