fbpx

Polis cari pemandu 4X4 warga Bangladesh tinggalkan lokasi kemalangan maut

SEORANG wanita maut apabila terbabit dalam nahas tiga buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pejabat Pos Gemencheh, Tampin, pagi tadi.

TAMPIN: Polis sedang mengesan pemandu sebuah kereta pacuan empat roda (4X4) jenis Isuzu yang terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pejabat Pos Gemencheh, di sini pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira pukul 7.30 pagi itu, seorang wanita yang menunggang sebuah motosikal, Nurhidayah Abd Majid, 30, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu, sebuah Proton Saga dan motosikal yang ditunggangi mangsa.

“Berdasarkan siasatan awal pemandu kenderaan pacuan empat roda dipercayai dipandu oleh lelaki warga Bangladesh dalam perjalanan dari Tampin menghala ke Gemas. Apabila sampai di lampu isyarat berhampiran Pejabat Pos Gemencheh dipercayai telah hilang kawalan dan terlanggar motosikal yang ditunggangi mangsa yang berhenti di lampu isyarat.

“Perlanggaran berkenaan menyebabkan mangsa tercampak dan terkena sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang berada di belakang motosikal tersebut. Akibat pelanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuwal berkata, pemandu kereta Isuzu itu telah meninggalkan lokasi kejadian dengan kenderaan terbabit dan setakat pukul 1.30 petang tadi, pemandu berkenaan masih belum tampil membuat laporan.

Sehubungan itu menurutnya, jika orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan tersebut, mereka diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau menghubungi talian 06-4412502 atau 06-4431999 bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN