Piston ubah perjalanan hidup Thamotharan - Utusan Malaysia

Piston ubah perjalanan hidup Thamotharan

R. Thamotharan menunjukkan piston kenderaan terpakai dengan corak unik yang ditempah pelanggannya di Kawasan Perindustrian Ringan, Senawang, Seremban baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menularnya wabak Covid-19 mengubah kehidupan semua orang, tidak terkecuali kepada bekas pekerja sebuah hotel di Singapura, R. Thamotharan, 36.

Dia sebelum ini bekerja di negara jiran itu selama 15 tahun namun kini beralih kerjaya dengan menjual alat ganti kenderaan terpakai di Senawang di sini selain menjual piston terpakai dengan corak unik hasil kreativitinya sendiri.

“Semuanya bermula apabila sempadan negara ditutup pada Mac 2020 dan saya terperangkap di Singapura lebih setahun. Saya juga diberhentikan kerja selain terpaksa melakukan pelbagai kerja lain di sana bagi meneruskan kehidupan.

“Apabila dapat pulang ke tanah air hujung tahun lalu, saya terus membantu saudara yang mempunyai bengkel kenderaan.

“Kerana minat ditambah dengan ilmu yang diperoleh daripada video yang ditonton di YouTube, saya mula menghasilkan piston dengan corak menarik untuk dijual,” katanya ketika ditemui di bengkelnya yang terletak di Kawasan Perindustrian Ringan, Senawang di sini baru-baru ini.

Thamotharan berkata, piston terpakai dengan corak tempahan khas itu dijualnya dengan harga bermula RM85 sehingga RM350 mengikut saiz dan kenderaan.

“Pada mulanya saya berikan secara percuma dan hadiah kepada ahli keluarga dan rakan-rakan, kemudian saya lihat di media sosial, ia boleh dijual dan mendapat permintaan. Setakat tiga bulan saya menghasilkannya, sambutan orang ramai agak baik,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama dia akan kembali semula ke Singapura dan bekerja di sana, Thamotharan memberitahu akan terus kekal di negara ini dan memulakan kembali kehidupannya.

“Benarlah kata orang, lebih baik berada di negara sendiri, saya akan teruskan apa yang saya lakukan sekarang dan mulakan kembali perjalanan hidup saya. Ada juga rakan yang mengajak saya untuk kembali ke Singapura dan setakat ini saya tidak berminat dan tiada perancangan untuk itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN