PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan kesediaan untuk menerajui kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi memastikan perjuangan mereka kekal relevan.
Naib Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, PH Sabah mesti menjiwai sentimen dan semangat kenegerian untuk membolehkan mereka bersaing lebih baik dengan blok atau gabungan politik lain.
Pada masa ini, belum ada satu gabungan yang benar-benar disertai parti politik tempatan kerana masih ada parti-parti beribu pejabat di Semenanjung termasuklah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga didominasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Ini pandangan peribadi saya dan selagi saya menjadi sebahagian daripada kepimpinan UPKO, ini akan terus menjadi pandangan yang saya akan kemukakan kepada rakan-rakan dalam blok-blok politik di negeri ini.
“Saya melihat UPKO boleh menerajui pimpinan blok PH Sabah di beberapa kawasan seperti Penampang, begitu juga dengan peringkat negeri.
“Walau bagaimanapun, perkara ini perlu diperhalusi dan dibincangkan di peringkat pimpinan PH Sabah terutama menjelang pilihan raya negeri akan datang,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO semalam.
Menurut beliau, PH Sabah mesti dilihat mempunyai autonomi dalam membuat keputusan agar ia sesuai dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, bukan hanya PH Sabah, semua gabungan politik di negeri ini juga seharusnya diterajui parti-parti tempatan.
“Kami di UPKO mengalu-alukan sebarang pembentukan blok politik di Sabah sama ada yang sedia ada mahupun yang baharu. Tetapi saya berpendapat semua blok politik ini harus diterajui oleh parti lokal, ini termasuk PH Sabah,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, negara ini ditubuhkan melalui MA63, maka, mengambil kira aspirasi dan semangat kenegerian semasa pembentukannya, kerajaan hari ini perlu menjayakan proses desentralisasi pentadbiran Persekutuan. – UTUSAN