Petronas raih kontrak PSC Blok Ketapang Utara - Utusan Malaysia

Petronas raih kontrak PSC Blok Ketapang Utara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas North Ketapang Sdn. Bhd., anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas), telah menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) untuk Blok Ketapang Utara yang terletak di pesisir pantai dan luar pesisir Jawa Timur, Indonesia.

Syarikat minyak dan gas nasional itu memenangi Blok Ketapang Utara menerusi pusingan kedua Pusingan Tawaran Petroleum Indonesia 2021 dan memegang 100 peratus ekuiti di blok seluas 3,131.8 kilometer persegi dengan kedalaman air sehingga 100 meter di bawah paras laut.

PSC ditandatangani di pejabat Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, di mana Petronas diwakili oleh Presiden Pengarah PC Ketapang II Ltd, Yuzaini Md. Yusof manakala SKK Migas diwakili oleh Ketua SKK Migas, Dwi Soetjipto.

Naib Presiden Penerokaan, Huluan Petronas, Mohd. Redhani Abdul Rahman berkata, pemeteraian Blok Ketapang Utara meningkatkan lagi portfolio huluan sedia ada syarikat di Indonesia.

“Ia sekali gus memberikan peluang untuk menangani permintaan tenaga negara yang semakin meningkat. 

“Petronas amat berbesar hati dianugerahkan PSC ini dan kami akan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami serta SKK Migas untuk membuka potensi hidrokarbon yang terdapat di dalam blok itu,” katanya dalam kenyataan.

Petronas juga merupakan pengendali bagi PSC Ketapang dan PSC Madura Utara II, luar pesisir Jawa Timur dan merupakan rakan usaha sama dalam enam PSC lain yang terletak di dalam dan luar pesisir Sumatera, Laut Natuna, Jawa Timur, serta Indonesia Timur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya