MELAKA: Niat seorang wanita untuk membunuh diri gagal apabila pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah berjaya memujuknya dalam kejadian di Jalan Hang Tuah di sini, petang semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Norezura Md. Azam berkata, mangsa yang berusia dalam lingkungan 40 tahun itu disahkan menghidap penyakit mental dan cuba membunuh diri di dalam bilik air rumahnya.
Beliau berkata, khuatir dengan keadaan itu, suami mangsa bertindak menghubungi bomba kira-kira pukul 4.50 petang selepas mangsa bertindak memecahkan cermin bilik air dan mengunci pintu.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati terdapat seorang mangsa perempuan berusia 40-an yang mengalami sakit mental cuba membunuh diri dan berada di dalam bilik air rumah.
“Cubaan memujuk mangsa mengambil masa hampir sejam. Kita berjaya memujuk mangsa dan menyerahkannya kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norezura, suami mangsa memaklumkan, isterinya itu menerima rawatan mental setiap enam bulan sekali.
“Ketika mangsa keluar dari bilik air, tiada sebarang kecederaan dialami olehnya. Operasi tamat pada pukul 5.37 petang,” jelasnya. – UTUSAN










