A’ZAZ, SYRIA: Berpindah-randah dari satu kawasan ke kawasan lain, sekitar tujuh tahun lalu, dari Idlib yang musnah dibedil serangan bom, Zarifah Mohammad Aikrai, 45, antara wanita cekal hadapi dugaan.
Bersama suami, Ali Muhammad Al Ahmad, 55, dan empat anak termasuk si bongsu, Ismail, 8, yang cacat anggota kaki, mereka sudah lima tahun mendiami kem pelarian di A’zaz, dekat sini.
Kem pelarian untuk ‘orang pelarian dalaman’ (IDP) itu kini menempatkan lebih 100 keluarga.
Menurut Zarifah, sebelum sampai ke kem pelarian itu, mereka sekeluarga berhabis duit untuk berpindah-randah demi makanan dan tempat perlindungan.
“Perjalanan ke sini sukar untuk saya gambarkan. Ia penuh dengan pelbagai dugaan. Sukar saya sebut. Hanya Allah sahaja yang tahu,” katanya selepas menerima sumbangan pek makanan asas daripada Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave di sini semalam.
Sumbangan disempurnakan Ketua Misi yang juga ahli Lembaga Penasihat MyCare, Dr. Mohd. Zin Kandar dan Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam.
Misi kemanusiaan itu berdepan sedikit isu imigresen selama hampir sejam di pintu sempadan Turkiye sebelum dibenarkan melintasi sempadan Syria.
Zarifah berkata, anak bongsunya cacat anggota kaki bukan kerana bom tetapi keluarga tidak mampu membawanya ke hospital.
“Dia disahkan mengalami kecacatan anggota kaki selepas enam bulan dilahirkan dan sehingga kini tidak boleh berjalan,” katanya.
Sudah pasti saya mahu melihat dia gembira dan boleh berjalan seperti anak-anak lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ismail ketika diajak berbual mengenai hidupnya berkata: “Alhamdulillah, saya okay. Terima kasih kerana sokongan semua memberi bantuan kepada saya dan keluarga. Semoga Allah merahmati kalian”. – UTUSAN










