Penunggang motosikal maut dilanggar kereta keluar mengejut - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal maut dilanggar kereta keluar mengejut

MOTOSIKAL milik mangsa selepas terlibat dalam kemalangan berhampiran Wisma Persekutuan di Gua Musang, Kelantan, hari ini. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail yang disyaki keluar dari simpang empat secara mengejut berhampiran Wisma Persekutuan, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi, Rosnina Abdullah, 52, yang menunggang motosikal jenis Honda Spacy mengalami kecederaan patah tulang rusuk, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pembonceng yang juga anak mangsa, Norathirah Azman, 21, cedera di bahagian kepala dan mulut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan awal mendapati, pemandu lelaki berusia 47 tahun yang berada di simpang sebelah kiri telah keluar secara tiba-tiba menyebabkan mangsa mengelak ke kanan.

Katanya, akibat jarak terlalu dekat, motosikal yang ditunggangi mangsa bersama anak perempuannya telah berlanggar dengan bahagian tayar kanan kenderaan itu.

“Mangsa bersama anak kemudiannya jatuh bergelimpangan di atas jalan raya. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan dan disahkan maut ketika menerima rawatan.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN