JERANTUT: Taman Negara Kuala Tahan merintis penubuhan pasukan Penyelamat Alam Semula Jadi yang pertama di negara ini untuk kepentingan menjaga keselamatan pelancong yang melawat di pusat peranginan hutan tropika itu.
Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh. Mohamed Puzi Sh. Ali berkata, pasukan Nature Lifeguard di bawah selenggaraan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang itu merupakan nilai tambah terhadap pembangunan industri pelancongan Taman Negara dan negeri ini khususnya bagi menangani aspek keselamatan darat dan air sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.
“Seramai 20 orang ahli pasukan Nature Lifeguard yang terdiri daripada ahli sukarelawan APM Kuala Tahan termasuk penduduk Orang Asli etnik Bateq akan bertugas sepanjang masa di pusat peranginan hutan tropika ini bagi membantu tugas menyelamat sama ada di air atau darat.
“Ahli pasukan ini sudah pun dilatih dengan kemahiran asas pertolongan cemas, berenang, menyelamat di air dan daratan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta kemahiran mengendalikan bot,” katanya di Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Sh. Mohamed Puzi berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin melancarkan pasukan Nature Lifeguard APAM di Kuala Tahan dekat sini.
Yang hadir sama Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
Sempena majlis pelancaran itu, Sh. Mohamed Puzi turut menyampaikan sebuah enjin dan perahu sumbangan Malaysian Consultative Council of Islamic Organisation Malaysia (Mapim) kepada pasukan Nature Lifeguard dan sukarelawan APAM Kuala Tahan untuk kegunaan kerja menyelamat dan menghantar bantuan.
Menurut Sh Mohamed Puzi penubuhan pasukan Nature Lifeguard memberikan kesan yang positif sekali gus keyakinan kepada pelancong luar dan pelawat domestik yang berkunjung ke taman itu.
“Kita telah sedar berasaskan pengalaman bah merah 2014 termasuk kejadian banjir tahun berikutnya serta malapetaka yang berlaku di darat (hutan) menyebabkan APAM meningkatkan kesiapsiagaan untuk tugas menyelamat dengan menubuhkan pasukan tersebut.
“Sekiranya pasukan Nature Lifeguard berada berdekatan tempat kejadian, tindakan menyelamat dapat dipercepatkan sekali gus pengurangan masa untuk tindak balas kecemasan serta risiko kecederaan dan bahaya tertentu kepada mangsa dapat dikurangkan,” katanya.
Hal berkenaan, tambahnya, cukup memberikan manfaat kepada pelancong luar serta pelawat domestik yang saban hari menunjukkan peningkatan singgah di Taman Negara malahan lebih meyakinkan mereka untuk berekreasi dan beriadah khususya aktiviti ekstrem di air dan darat.
Beliau berkata, pasukan Nature Lifeguard sudah pun dominan di negara Barat yang mempunyai banyak pusat pelancongan serta dikunjungi ramai pelawat untuk melakukan aktiviti bercorak ekstrem dan Pahang mengambil langkah yang drastik untuk memperkemaskan aspek keselamatan dan sebagainya .
“Tourism Pahang berharap kerajaan negeri dan APAM akan menambah kelengkapan dan lojistik seperti bot serta peralatan menyelamat dari masa ke semasa serta melatih ramai ahli sukarelawan untuk menyertai pasukan Nature Lifeguard pada masa akan datang.
“Kita juga mencadangkan sebuah pusat logistik dan pentadbiran di Kuala Tahan untuk menempatkan peralatan menyelamat, tempat latihan, penerangan dan maklumat dan sebagainya daripada kerajaan negeri dan Pejabat Daerah dalam usaha memperkemaskan pengurusan pasukan tersebut termasuk Sukarelawan APM,” ujarnya. – UTUSAN