PETALING JAYA: Keputusan kerajaan menghentikan subsidi sebanyak RM720 juta dialu-alukan oleh golongan penternak ayam kerana ia disifatkan tidak benar-benar telus dan menyeluruh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR), Nordin Mat menyifatkan, subsidi itu sepatutnya membantu semua penternak, bukannya kepada segelintir sahaja.
Malah, katanya, pemberian subsidi itu langsung tidak mampu menangani kenaikan harga ayam di pasaran.
“Ia keputusan yang baik kerana subsidi yang diumumkan masih belum diagihkan dan dibayar sepenuhnya. Bukan semua dapat dan subsidi ini hanya bersifat sementara. Malah, tak ada yang jual ayam RM8.90. Jadi, lebih baik harga ayam ditetapkan di pasaran terbuka.
“Cuma, kerajaan perlu mengawal harga anak ayam dan meletakkan kuota eksport kepada isirung kelapa sawit (PKC) barulah harga boleh kembali stabil. Kalau bagi subsidi memang tidak berkesan dan tidak bertahan lama,” katanya.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung keputusan kerajaan menghentikan subsidi kepada penternak ayam, sebaliknya menggunakan peruntukan RM720 juta itu dengan memberikan bantuan kewangan langsung kepada golongan B40.
Namun, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berpandangan, bantuan itu hanya bersifat jangka pendek kerana ia hanya dapat mengagihkan jumlah wang yang kecil kepada golongan yang memerlukan.
“Contohnya, kalau bantuan ini diberikan kepada seramai 4 juta isi rumah B40 yang berada dalam golongan kritikal, setiap isi rumah hanya akan meraih bantuan sebanyak RM180 setahun.
“Jadi, ia hanya boleh dibuat dalam jangka pendek, mungkin hanya bertahan beberapa bulan sahaja dalam tahun ini,” katanya.
Justeru, beliau menyifatkan kerajaan perlu merangka pelan jangka pertengahan dan jangka panjang.
“Kerajaan telah membelanjakan lebih kurang RM71 bilion tahun ini daripada kira-kira RM400 bilion belanjawan tahunan. Kalau kerajaan berikan lagi bantuan kewangan sehingga mencecah RM100 bilion, itu sudah mencapai 25 peratus perbelanjaan tahunan.
“Kita tidak mahu jadi seperti Sri Lanka yang memberikan terlalu banyak bantuan subsidi kepada golongan isi rumah B40 sehingga negara akhirnya bankrap,” katanya.-UTUSAN