Pengedar dadah rempuh polis, isteri direman enam hari - Utusan Malaysia

Pengedar dadah rempuh polis, isteri direman enam hari

LOKASI kejadian kereta dipandu seorang lelaki merempuh kereta peronda polis sebelum anggota polis melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dinaiki suspek dipercayai pengedar dadah di pekan Ayer Tawar dekat Beruas. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Lelaki disyaki pengedar dadah yang memandu kereta merempuh kenderaan peronda polis direman enam hari sehingga Rabu minggu depan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, turut direman ialah isteri lelaki tersebut, juga dalam tempoh sama.

“Pasangan suami isteri masing-masing berusia 61 dan 38 tahun itu juga didapati positif dadah jenis methampetamine dalam saringan air kencing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

NOR OMAR SAPPI

Nor Omar berkata, berikutan penahanan pasangan tersebut, anak lelaki mereka berusia dua tahun akan diserahkan kepada wakil terdekat hari ini.

Semalam, polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar sebuah kereta yang bertindak nekad merempuh bahagian hadapan sebuah kereta peronda polis dalam kejadian di pekan Ayer Tawar, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek yang disyaki pengedar dadah memperjudikan nyawa isteri dan anak lelakinya yang berada dalam kereta dipandu dengan bertindak agresif melanggar kereta polis dalam usahanya melarikan diri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan bersama 33 paket dadah syabu seberat 62.5 gram yang ditemui dalam kereta dipandunya kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian rempuhan itu.

Menurut Mior Faridalathrash, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap suspek dan keluarganya serta anggota polis terlibat.

Katanya, kes  itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu percubaan membunuh serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya