Pengarah hospital, ketua jabatan maklum Kementerian Kesihatan jika kurang pegawai - KJ - Utusan Malaysia

Pengarah hospital, ketua jabatan maklum Kementerian Kesihatan jika kurang pegawai – KJ

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pengarah hospital dan ketua jabatan diminta memaklumkan kepada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan sekiranya berlaku kekurangan pegawai perubatan (MO) dan kakitangan di tempat masing-masing.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia bagi membolehkan tindakan segera diambil bagi menempatkan pegawai lain ke sesuatu bahagian atau jabatan tersebut.

Katanya, penyelesaian jangka panjang itu telah beliau sampaikan kepada Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan susulan tular isu ‘on call‘ melibatkan seorang MO di sebuah hospital.

“Perkara ini saya sudah sampaikan kepada beliau untuk melihat kenapa kes ini boleh berlaku. Saya rasa ini bukan kes terpencil, mungkin ada jabatan lain berlaku.

“Kenapa pengarah hospital dan ketua jabatan tidak memaklumkan ia berlaku. Kalau tak cukup jawatan sebagainya, kena beritahu kita supaya Kementerian Kesihatan iaitu Bahagian Sumber Manusia boleh ambil tindakan supaya ia tidak berulang,” katanya dalam sidang akhbar Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut tidak berpuas hati terhadap aduan yang diterima itu dan menyifatkan ia bukan satu-satunya kes sekali gus mungkin pelbagai lagi kes seperti itu.

“Masalah dihadapi MO kita bukan baharu tetapi agak lama yang perlu penyelesaian. Kes tular baru-baru ini menceritakan kisah seorang MO di sebuah hospital dan beliau satu-satunya MO di jabatan tersebut disebabkan seorang lagi MO cuti bersalin.

“Beliau terpaksa bekerja siang malam dan aduan permohonan pertukaran tidak diendahkan sedangkan MO ini terpisah dengan suami dan anak. Justeru, Bahagian Sumber Manusia sedaya upaya kita cuba meluluskan permohonan pertukaran terutama duka lara terpisah dengan suami serta anak,” katanya.

Khairy berkata, biarpun permohonan yang diterima tidak 100 peratus dapat diluluskan berikutan perlu melihat kekosongan tempat dipohon, namun polisi kementerian adalah sedaya upaya cuba mengurangkan jarak pegawai mereka dengan keluarga yang terpisah.

“Dalam kes ini ada sedikit kelemahan dan sepatutnya pengarah hospital tidak biar keadaan tersebut berlaku di mana tinggal seorang sahaja MO yang terpaksa tanggung kerja di jabatan itu. Perkara ini saya akan lihat dan kita ambil tindakan sewajarnya,” tegasnya.

Mengulas lanjut, katanya, aduan tersebut dibawa kepada pihak pasukan petugas khas tersebut yang dijangka mengambil masa dua bulan untuk menyiasat seterusnya menyediakan laporan.

Sementara itu, beliau turut menyeru kepada MO yang telah menerima e-mel kaji selidik daripada pasukan petugas khas untuk melengkapkan soalan-soalan tersebut bagi mendapatkan maklum balas lebih mendalam mengenai persekitaran kerja Kementerian Kesihatan.

“Setakat ini kita telah dapat 40,000 maklum balas dan kalau boleh nak lebih daripada itu. Lebih 60,000 pun tidak mengapa kerana lebih banyak kaji selidik, lebih tepat maklumat disampaikan kepada pasukan petugas khas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN