PETALING JAYA: Kira-kira 350,000 rakyat negara ini yang menganggur dan masih tercari-cari pekerjaan yang memberi gaji lumayan perlu memanfaatkan peluang bekerja di negara jiran iaitu Singapura.
Ini kerana banyak peluang ditawarkan di negara itu terutama selepas pembukaan ekonomi pasca pandemik Covid-19 daripada pekerjaan rencam sehinggalah yang bertaraf profesional.
Wakil Agensi Pekerjaan Inter Island Sdn. Bhd., Muhammad Amirrul Ewan Mohammad Nazrul Koh berkata, dianggarkan Singapura memerlukan kira-kira 50,000 pekerja dari negara ini untuk memenuhi kekosongan di negara itu.
“Jika sesebuah kilang mempunyai pengeluaran besar, mereka memang memerlukan ramai pekerja. Lagi-lagi kalau dapat projek besar, jadi syarikat kami akan membuat pengambilan secara besar-besaran bagi memenuhi kehendak pelanggan kami.
“Biasanya jika ada syarikat yang memerlukan 1,000 pekerja, 80 peratus daripada pemohon akan diterima bekerja dengan syarat mereka menghadiri sesi temuduga dan persiapan yang baik,” katanya.
Muhammad Amirrul Ewan berkata, selama 13 tahun syarikat itu beroperasi, pihaknya telah membantu kira-kira 60,000 orang yang ingin bekerja di Singapura.
Menurutnya, mereka yang menganggur sepatutnya diberi pendedahan tentang peluang bekerja di negara itu dan boleh mendapatkan pekerjaan, gaji serta kehidupan yang setimpal dengan sijil yang mereka ada.
“Bukan saya mahu kata Singapura terbaik. Tetapi seeloknya, mereka diberi pendedahan. Sekurang-kurangnya mereka dapat mengubah kehidupan ke arah lebih baik.
“Sebagai contoh, di Malaysia sekarang, ramai pemegang diploma dan ijazah dalam bidang kejuruteraan masih tidak mempunyai pekerjaan kerana gaji yang ditawarkan tidak setimpal. Sedangkan di Singapura, sijil yang mereka ada itu adalah berharga,” tambahnya.
Justeru, beliau menggalakkan mereka yang berlatar belakang kejuruteraan atau perkhidmatan makanan dan minuman untuk bekerja di Singapura bagi perkembangan kerjaya yang baik.
“Teknologi di Singapura boleh kata lebih ke hadapan. Jadi, pengalaman ini mahal untuk masa depan seseorang,” ujarnya.
Pemerhatian Utusan Malaysia di laman-laman sosial mendapati banyak tawaran kerja di Singapura dengan gaji yang lumayan diiklankan di Facebook yang memerlukan pekerja dari Malaysia.
Misalnya, tawaran kerja tukang cuci di sekolah dan kondominium menjanjikan gaji sebanyak 1,300SGD (RM4,101.45) hingga 1,400SGD (RM4,416.94) yang cuma memerlukan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ada juga tawaran kerja pencuci pinggan di pusat penjaja Singapura dengan gaji sehingga 1,600SGD (RM5,046.45) dan disediakan hostel percuma.
Sementara fitu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abd. Hamid turut menggalakkan belia yang masih menganggur untuk mencari pekerjaan di Singapura memandangkan banyak tawaran kerja dengan gaji lumayan.
Bagaimanapun katanya, masih banyak peluang kerja di negara ini dan belia pula perlu diberi pendedahan tentang inisiatif yang sedang dijalankan kerajaan.
“Sekiranya program JaminKerja yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat dilaksanakan dengan baik, maka, isu pengangguran mungkin dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya ketika dihubungi di sini. – UTUSAN










