Penganggur didakwa cederakan warga emas dengan kayu - Utusan Malaysia

Penganggur didakwa cederakan warga emas dengan kayu

KOH Gee Doon (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan hari ini atas pertuduhan sengaja mencederakan jirannya yang merupakan warga emas menggunakan sebatang kayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan sengaja mencederakan jirannya yang merupakan warga emas menggunakan sebatang kayu pada minggu lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Koh Gee Doon, 64, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan, Hor Keng Wah, 69, menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan warga emas berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian atas kepala.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Jalan Kelochor, Padang Kelochor di sini kira-kira pukul 12.20 tengah hari pada 9 Jun lalu.

Gee Doon didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd. Amin.

Terdahulu, Ariyani dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan ikat jamin tidak melebihi RM3,000 kepada tertuduh yang turut bersedia untuk mematuhi syarat ditetapkan mahkamah sekiranya ada.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Utusan Malaysia pada 9 Jun lalu melaporkan, seorang warga emas maut dipercayai dipukul jirannya dengan sebatang kayu selepas berlaku perselisihan faham antara mereka mengenai tanaman pokok berhampiran rumah mereka di Jalan Kelochor.

Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di bahagian dapur rumah oleh isterinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya