KLANG: Mayat seorang lelaki yang ditemukan dalam longkang besar berdekatan pasar pagi di Jalan Papan, Pandamaran di sini, tidak mempunyai kecederaan akibat unsur khianat atau jenayah.
Siasatan awal polis mendapati mangsa berusia 44 tahun berdasarkan maklumat melalui kad pengenalan yang ditemukan dalam poket seluar.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 7.08 pagi tadi.
“Mayat lelaki itu ditemukan tidak berbaju dan hanya berseluar selain sudah berbau busuk. Pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan di tubuh mangsa yang disebabkan unsur khianat atau perbuatan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan suasana di kawasan itu gempar apabila mayat seorang lelaki ditemukan dalam longkang hari ini.
Kejadian itu disedari orang awam yang ternampak mayat tertiarap dan berjaya dibawa keluar bomba dengan alat pengusung serta tangga.
Jelas Hoong Fong, pihaknya masih dalam usaha mengesan waris lelaki berkenaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3371 9999 atau balai polis berdekatan. – UTUSAN










