KLANG: Ribuan penduduk yang tinggal di Taman Kapar Permai, Taman Damai dan Taman Seri Kerayong menyatakan kebimbangan terhadap sebuah tapak seluas kira-kira 100 hektar yang dijadikan kawasan kilang kerana terlalu hampir dengan kediaman mereka.
Kawasan perindustrian tersebut terletak kurang 500 meter dari kediaman mereka dikhuatiri menempatkan kilang-kilang menjalankan operasi industri berat yang boleh menyebabkan pencemaran udara dan bunyi bising.
Menurut wakil penduduk yang enggan identitinya didedahkan, kawasan tersebut asalnya merupakan ladang kelapa sawit milik sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) yang sudah pun dijual pada harga kira-kira RM2.8 bilion.
“Bukan sahaja kami, anggaran penduduk lebih 5,000 bimbang dengan pembinaan kawasan perindustrian di atas tapak yang asalnya berstatus pertanian kini sudah bertukar jadi kawasan kilang boleh menyebabkan pencemaran dan mengancam penduduk.
“Tak tahulah hendak dibina kilang apa, tetapi kalau banyak yang hendak dinaikkan dekat 30 lot tapak, tak mustahil akan ada operasi industri berat. Tambahan pula kawasan ini berdekatan dengan Sungai Kapar yang muaranya menjadi tempat semaian benih kerang dan jeti nelayan,” katanya.
Malah, pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) juga dikatakan tidak mengadakan sesi libat urus dengan penduduk setempat bagi mendapatkan persetujuan pembinaan kawasan perindustrian di sana.
Dalam pada itu, penduduk turut mendakwa pembersihan ladang kelapa sawit tersebut menyebabkan kawasan rumah mereka yang melalui Jalan Bukit Kerayong kerap dilanda banjir kilat apabila saliran air tidak dibuat dengan betul.
Jelasnya, tapak tanah yang meliputi kawasan Kapar dan Jeram dalam dua daerah berbeza iaitu Klang dan Kuala Selangor ditinggikan dengan mengambil tanah di dakwa dari kawasan Bukit Kerayong, Bukit Kapar dan Bukit Cerakah yang digondolkan.
“Penebangan pokok kelapa sawit dan tambakan tanah di kawasan tersebut menyebabkan tidak berlaku serapan air ketika hujan menyebabkan banjir kilat kerap berlaku sehingga menenggelamkan laluan utama dan sebahagian rumah penduduk.
“Kontraktor juga dilihat tidak membuat saluran air dengan sempurna untuk mengalirkan limpahan air hujan, sebab kalau hujan air pada saluran tersebut melimpah. Keadaan ini tidak pernah berlaku dan pertama kali banjir pun pada Disember lalu,” kesalnya. – UTUSAN