PETALING JAYA: Seorang pemilik sebuah kenderaan yang memandju di lorong motosikal di Kilometer 34.1, Lebuhraya Persekutuan seperti ditularkan melalui satu rakaman video semalam diburu polis.
Rakaman video kejadian itu tular di media sosial dikesan pihak berkuasa kira-kira pukul 5 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, perkara itu diambil maklum Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan satu laporan dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Semakan mendapati kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu adalah sebuah kereta Honda City dengan nombor pendaftaran VAG 8183,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohamad Fakhrudin berkata, kejadian itu tidak membabitkan kemalangan atau kecederaan kepada pengguna jalan raya.
Bagaimanapun, ujar beliau, perkara seperti ini boleh membahayakan keselamatan pemandu sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
“Justeru, kita minta pemilik atau pemandu kenderaan terbabit serta mana-mana saksi yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan polis.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, pihak terbabit diminta tampil terus ke mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Ahmad Termizi Abdul Halim ditalian 013-3752511. – UTUSAN