KULIM: Seorang pemilik dusun durian maut selepas dipercayai tertembak diri sendiri ketika berada di kebun durian miliknya di Kampung Kongsi Dalam, Sungai Kob Karangan, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, mangsa yang berusia 72 tahun ditemukan seorang lelaki berusia 56 tahun yang melihat mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri serta berlumuran darah di tangan kanan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, lelaki itu yang juga penoreh getah bersebelahan dengan kebun mangsa menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian terbabit.
Katanya, pemeriksaan lanjut di tempat kejadian mendapati mangsa sudah meninggal dunia dipercayai akibat terkena tembakan.
“Sebelum penemuan mangsa pada pukul 7 pagi, penoreh terbabit mendakwa dia ada bertemu dan berbual dengan mangsa yang turut mengajaknya mengutip durian. Mangsa datang ke kebun dengan menunggang motosikal dan turut membawa senapang patah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd. Redzuan berkata, polis turut menemukan motosikal milik mangsa berdekatan sebuah pondok yang terletak kira-kira 700 meter daripada lokasi mangsa ditemui terbaring.
Ujarnya, siasatan di pondok terbabit menemui selaras senapang patah yang didaftarkan atas nama mangsa dan senjata itu dipercayai meletup secara tidak sengaja
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan pendarahan akibat tembakan dan tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya yang mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.-UTUSAN










