ALOR GAJAH: Seorang pengasas pusat perubatan jarak jauh yang juga terkenal dengan perkhidmatan membuang saka dicekup berkhalwat di Masjid Tanah di sini, malam tadi.
Warga emas berusia 60-an itu ditangkap sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam serbuan di sebuah rumah teres pada pukul 11.30 malam.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hasil aduan orang awam, serbuan dilakukan dan pemeriksaan di premis menjumpai sepasang lelaki serta wanita bersekedudukan tanpa dokumen sah pernikahan.
“Hasil soal siasat lelaki tersebut adalah seorang pengasas pusat perubatan jarak jauh yang terkenal berasal dari negara jiran.
“Kita dapati dia bersekedudukan dengan seorang janda anak seorang berusia 40-an yang didakwanya telah dinikahi sejak 2012, namun mereka gagal mengemukakan dokumen sah pernikahan itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada operasi cegah maksiat yang berakhir pada pukul 3.30 pagi ini.
Katanya, susulan itu warga emas berkenaan ditahan dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Dalam pada itu, Che Sukri berkata, pihaknya juga sedang memantau kaedah perubatan jarak jauh bagi membuang saka ditawarkan warga emas itu yang turut dipertonton di platform YouTube miliknya sehingga mempunyai ribuan pengikut.
“Kita sedang menunggu keputusan terakhir daripada pihak Jawatankuasa Fatwa dan jika kaedah rawatan digunakan itu disahkan bertentangan dengan ajaran Islam, maka perbuatan itu akan dihalang.
“Kita juga akan menasihatkan pengikutnya untuk tidak mendekati kaedah rawatan tersebut,” katanya. – UTUSAN