Pemberian vaksin Covid-19 PICKids dibuka 5 hari - Utusan Malaysia

Pemberian vaksin Covid-19 PICKids dibuka 5 hari

GELAGAT kanak-kanak ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) bagi berumur lima hingga 12 tahun ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 4 Mac lalu. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemberian vaksin Covid-19 di bawah PICKids akan dibuka selama lima hari bermula esok sehingga 24 Jun ini bersempena sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2022 yang bertemakan ‘Perlindungan Sepanjang Hayat untuk Semua’.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pembukaan vaksinasi tersebut bertujuan meraikan ibu bapa yang kini berhasrat mendapatkan vaksin Covid-19 bagi anak-anak yang terlepas peluang sebelum ini serta keprihatinan Kementerian Kesihatan atas keselamatan kanak-kanak daripada penyakit cegahan vaksin.

“Ibu bapa yang berhasrat boleh mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu di klinik-klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan bagi tempoh yang dinyatakan.

“Pemberian adalah berdasarkan kepada stok vaksin di sesebuah fasiliti pada hari tersebut dan sekiranya stok untuk hari itu habis, ibu bapa perlu membawa anak keesokan harinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, ibu bapa yang baru mengetahui mengenai vaksinasi Covid-19 atau baru membuat keputusan membenarkan anak divaksinasi digalakkan untuk mengambil peluang tersebut.

Tambahnya, bagi kanak-kanak yang akan mencapai umur lima tahun, ibu bapa masih boleh membuat tempahan janji temu vaksinasi mengikut tarikh dan tempat vaksinasi pilihan melalui aplikasi MySejahtera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN