KEPALA BATAS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang merekodkan sebanyak 704 aduan berkaitan kes pembakaran secara terbuka sepanjang tahun lepas.
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, jumlah itu merupakan 63 peratus daripada keseluruhan 1,110 aduan awam yang diterima pihaknya sepanjang tempoh sama.
Malah jelas beliau, setakat kelmarin, sebanyak 260 aduan diterima untuk tahun ini dengan 160 daripadanya atau 58 peratus berkait kes pembakaran terbuka.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana pelaku, pembakaran secara terbuka adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain boleh dikompaun dan didenda sebanyak RM2,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Bual Bicara Eksklusif berkaitan Kewangan Persekitaran: ‘Bagaimana Ia Boleh Memberi Manfaat Kepada Bumi’ yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang (Kampus Bertam) di sini semalam.
Penganjuran program itu bertepatan dengan tema Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini iaitu ‘Hanya Satu Bumi’ dan dihadiri oleh kira-kira 120 peserta terdiri daripada kalangan pelajar, perunding, pemaju, agensi-agensi Persekutuan serta agensi di peringkat negeri.
Terdahulu, topik itu dikupas ahli ekonomi persekitaran terkemuka, Dr. Benoit Laplante yang terlibat dalam pelbagai projek serta penyelidikan berkaitan di serata dunia di bawah beberapa organisasi antarabangsa termasuk Bank Dunia, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Agensi Pembangunan Antarabangsa Denmark (Danida).
Bersempena dengan program itu juga, JAS negeri melancarkan pelekat kenderaan serta beberapa barangan lain seperti rantai kunci, payung dan cawan berserta logo khas untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak mendekati pembakaran terbuka.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pelabur serta mereka yang terlibat dalam memberi kata putus berkaitan pelaburan disaran menitikberatkan soal persekitaran, sosial, ekonomi serta tadbir urus sebelum sesuatu projek, pelan atau program itu dilaksanakan.
Menurut Sharifah Zakiah, hal ini penting agar pelaburan tersebut akan membawa kepada pembangunan yang lebih mapan pada masa depan.
“Maka, sebab itulah kita perlu belajar atau mengambil tahu akan hal ehwal berkaitan kewangan persekitaran (impak keputusan pelaburan terhadap persekitaran, sosial dan tadbir urus). Semoga dalam hal ini, kita boleh mempraktikkan prinsip-prinsip yang digariskan di bawah kewangan mapan dan melihat bagaimana ia memberi manfaat kepada bumi, diri kita sendiri dan orang lain,” katanya. – UTUSAN