Pemandu Porsche Macan maut rempuh dua Proton di Bentong - Utusan Malaysia

Pemandu Porsche Macan maut rempuh dua Proton di Bentong

KEADAAN Porsche Macan yang dipandu Lee Cheng Yik mengalami kerosakan teruk selepas terbabit kemalangan dengan dua buah keadaan lain di Kilometer 55.6 Lebuh Raya Karak ke Kuala Lumpur berdekatan Bentong, Pahang. - FOTO IHSAN IPD BENTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 55.6 Lebuh Raya Karak menghala ke Bentong dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, mangsa yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) tersebut, Lee Cheng Yik meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua pemandu lagi, lelaki warga emas berusia 71 tahun yang memandu Proton Waja dan juga seorang lelaki berusia 32 memandu Proton Saga FLX tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan polis mendapati kereta Porsche Macan yang dipandu Cheng Yik dalam perjalanan dari arah Gombak menuju ke Raub.

“Setibanya di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta lain lalu terbabas dan kemudiannya melanggar sebuah lagi kereta di sebelah lorong kiri jalan.

“Kereta mangsa kemudiannya terjunam di sebelah kiri jalan di laluan keluar sebuah stesen minyak berdekatan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaiham, akibat kemalangan itu Chen Yik disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan di tempat kejadian manakala dua orang pemandu lagi tidak mengalami kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seskyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya memohon kerjasama pengguna lain yang melihat kejadian kemalangan ini supaya tampil membantu polis untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Zaiham juga menasihatkan pemandu supaya lebih berhemah dan berhati-hati serta mematuhi undang-undang jalan raya khususnya ketika menggunakan laluan Lebuh Raya Karak.

Jelasnya, pengguna diminta memastikan keadaan kenderaan masing-masing diselenggara dengan baik dan sempurna sebelum memulakan perjalanan yang jauh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN