fbpx

Pemandu pelancong Taman Negara kembali ceria

MOHD. Kamil Hakim Rozali (berdiri belakang, empat dari kanan) bersama pelancong dari Belanda dan Jerman sebelum menaiki bot penambang berkunjung ke beberapa tempat di Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT: Kehadiran ramai pengunjung luar ke Taman Negara Kuala Tahan di sini, menceriakan pemandu pelancong kerana mampu menjana semula pendapatan berbanding tempoh ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Sejak bulan lalu, pelancong luar khususnya dari negara-negara Eropah mula membanjiri kawasan itu sekali gus memberi peluang kepada kira-kira 200 pemandu alam sekitar di pusat peranginan tersebut menjana pendapatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemandu alam sekitar Taman Negara, Mohd. Kamil Hakim Rozali, 32, berkata, dia dan rakan-rakan lain tidak lagi tertekan berbanding ketika tempoh penularan pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

“Ketika itu saya terpaksa beralih ke bidang pertanian dengan menanam lada dan terung fertigasi untuk mengisi kantung yang kosong.

“Saya kembali menjadi pemandu alam sekitar apabila pelancong luar dan domestik membanjiri taman ini,” katanya semalam.

Menurut Mohd. Kamil, kini dia memberi tumpuan kepada bidang pertanian ketika waktu lapang, manakala tugas pemandu alam sekitar pada hujung minggu dan hari tertentu sekiranya ada tempahan perkhidmatannya.

“Pendapatan saya peroleh sebagai pemandu alam sekitar RM200 hingga RM300 sehari membawa pelancong seperti dari negara Belanda, Jerman, Perancis, Romania dan beberapa negara Asia ke destinasi yang menjadi pilihan mereka di taman ini,” katanya.

Pemegang Diploma Pentadbiran Awam dari sebuah universiti tempatan itu berkata, keadaan cuaca yang panas dan kering mendorong pengunjung ke situ secara backpackers atau berkumpulan mahupun berkeluarga.

“Suasana cuaca yang baik memberi keselesaan pengunjung melakukan aktiviti pengembaraan hutan, eksplorasi gua, menyusuri Sungai Tembeling, melawat perkampungan Orang Asli, merakamkan flora, burung liar dan fauna yang ada di hutan tropika itu,” katanya. – UTUSAN

 

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!