PETALING JAYA: Seorang pelakon lelaki direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang lelaki yang juga pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Segambut, di sini kelmarin.
Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.30 malam pada Khamis lalu.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, kejadian berlaku ketika suspek berusia pertengahan 30-an itu yang juga penghuni kondominium berkenaan meminta rakannya untuk membeli minyak masak.
Kata beliau, ketika rakan suspek hendak menghantar minyak masak kepadanya, pengawal keselamatan di kondominium berkenaan tidak membenarkan rakannya itu masuk.
“Berlaku pertengkaran mulut di antara kawan suspek dan pengawal keselamatan di situ.
“Suspek kemudian turun ke tempat kejadian dalam keadaan marah terus menumbuk dan menendang muka, dada dan perut mangsa,” katanya di sini.
Menurut beliau, mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum Bahagian Siasatan Jenayah, Polis Daerah Sentul, memberkas suspek di kediaman sama malam semalam. – UTUSAN