Pelajar tingkatan tiga dipukul enggan sertai kongsi gelap - Utusan Malaysia

Pelajar tingkatan tiga dipukul enggan sertai kongsi gelap

RAHMAT ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Gara-gara enggan menyertai geng kongsi gelap, seorang pelajar lelaki tingkatan tiga cedera dipukul sekumpulan remaja lelaki di hadapan sebuah sekolah menengah di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian terbabit kira-kira pukul 2 petang dan hasil siasatan awal mendapati ketika mangsa berada di hadapan sekolah tersebut telah didatangi enam suspek yang tidak dikenali.

“Kesemua suspek berusia 17 hingga 18 tahun itu mengajak pelajar terbabit untuk menyertai kumpulan kongsi gelap. Oleh kerana mangsa menolak pelawaan itu, dia telah dipukul sekumpulan remaja berkenaan. Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan di bibir, pipi dan dahi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rahmat berkata, hasil siasatan yang dijalankan, polis menahan seorang suspek berusia 18 tahun, kira-kira 12.15 tengah malam tadi di kediamannya di kawasan daerah ini.

Katanya, siasatan awal yang dijalankan suspek mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan bersama rakan-rakan yang lain.

“Pihak polis memohon orang ramai yang berada di tempat kejadian tampil memberi keterangan berkaitan kes pukul tersebut. Kita tidak akan berkompromi dengan perilaku jenayah yang melibatkan pelajar sekolah. Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN