IPOH: Polis menahan seorang wanita yang disyaki mencuri barang kemas bernilai RM15,000 ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah rumah di Taman Rapat Setia Baru di sini, kelmarin.
Wanita warga asing berusia 35 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 1.50 petang di sebuah rumah di Pasir Puteh.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan kehilangan barang kemas itu diterima kelmarin oleh pengadu yang mengesyaki ia diambil oleh pekerja warga asing yang datang ke rumahnya untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
Katanya, siasatan kes tersebut dibuka mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Satu operasi khas telah dijalankan bagi mengesan suspek sebelum dia berjaya ditangkap dalam tempoh tidak lebih 24 jam selepas laporan diterima. Semasa tangkapan dibuat, pihak polis merampas barang kes termasuk barang kemas disyaki milik pengadu bernilai RM13,000 selain resit-resit pajak gadai dan kedai emas,” katanya di sini.
Menurut beliau, pihaknya memperoleh perintan reman terhadap suspek selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis depan untuk siasatan lanjut. – UTUSAN










