Pekerja ladang dihanyutkan arus ditemukan mati lemas - Utusan Malaysia

Pekerja ladang dihanyutkan arus ditemukan mati lemas

ANGGOTA bomba membawa naik mayat mangsa lemas yang dijumpai terapung di muara sungai dekat Kampung Pasang Api, Bagan Datuk semalam. - UTUSAN/JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki warga India yang dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika mandi di kawasan Jeti Waterfront Bagan Datuk di sini Isnin lalu, ditemukan mati lemas.

Mayat pekerja ladang berusia 25 tahun itu ditemukan pada 7.30 malam semalam oleh seorang lelaki yang memancing di muara sungai di Kampung Pasang Api, Bagan Datuk.

Lelaki itu ditemukan pada jarak kira-kira dua kilometer dari jeti, tempat di mana mangsa mandi bersama rakannya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa yang masih lengkap berpakaian itu dijumpai dalam keadaan terapung di lokasi tempat saksi memancing.

Katanya, mayat mangsa dibawa naik ke tebing dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.

“Mangsa dilaporkan datang ke lokasi kejadian bersama rakan sekerjanya, Isnin lalu, pada pukul 5.30 petang. Lelaki itu mandi di kawasan berkenaan sebelum dihanyutkan arus deras. Rakan mangsa memberitahu melihat lelaki itu terjun ke dalam sungai sebelum dihanyutkan arus dan hilang daripada pandangan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, rakan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada polis dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada pukul 6 petang hari yang sama untuk mencari mangsa.

“SAR dijalankan oleh pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Polis Marin Kampung Acheh. Mayat mangsa ditemukan pada pukul 7.30 malam semalam. Pengecaman mayat dibuat oleh rakan sekerja mangsa dan disahkan si mati adalah rakan mereka. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN