PETALING JAYA: Seorang pegawai polis maut selepas digilis sebuah lori di Kilometer 11, Lebuh Raya Grandsaga menghala ke arah ibu negara dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, Inspektor Mohd Farhan Zahari dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Gombak selepas mengikuti kursus di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, siasatan mendapati mangsa cuba memotong sebuah lori di bahu kiri jalan namun keadaan jalan berpasir menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di hadapan tayar lori.
“Akibat itu, mangsa digilis oleh lori yang sedang bergerak terus di laluan sah.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN










