PATI warga Indonesia ditemukan lemas selepas larikan diri - Utusan Malaysia

PATI warga Indonesia ditemukan lemas selepas larikan diri

ANGGOTA bomba dan penyelamat mencari lelaki warga Indonesia yang kemudian ditemukan lemas di dalam kolam di Bedong, Sungai Petani, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tindakan seorang lelaki warga Indonesia terjun ke kolam dalam usaha melarikan diri daripada ditahan Jabatan Imigresen berakhir tragedi apabila dia ditemukan mati lemas.

Lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditemukan pukul 10 pagi tadi oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang melancarkan operasi di kolam berdekatan rumah kongsi mangsa di Bedong, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan yang dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan berkaitan kejadian itu pada pukul 2.40 pagi, semalam.

“Kita dimaklumkan berkaitan serbuan melalui Op Sapu oleh Jabatan Imigresen dan kejadian seorang lelaki warga Indonesia hilang selepas terjun ke dalam kolam di dalam ladang kelapa sawit di situ.

“Sebelum itu pihak imigresen dikatakan memujuk lelaki berkenaan untuk naik ke tebing namun dia enggan berbuat demikian sebelum dikesan hilang dan ditemukan lemas pagi tadi,” katanya.

Menurut Zaidy, dalam operasi itu seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan, manakala tiga berjaya meloloskan diri dengan berlari bersembunyi di dalam ladang kelapa sawit berdekatan rumah kongsi mereka.

Tambahnya, mayat mangsa yang diserahkan kepada pihaknya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dihantar untuk saringan Covid-19 dan bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim.

“Kita masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Imigresen berkaitan kejadian itu untuk melengkapkan siasatan dan sehingga kini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya