Pasangan kembar cemerlang SPM mahu buat pilihan terbaik

Pasangan kembar cemerlang SPM mahu buat pilihan terbaik

NUR Aina Najla' Md Azan (kiri) dan adik kembarnya, Nur Aina Amirah melihat risalah promosi program-program pendidikan ketika hadir ke Karnival Institusi Pendidikan Mara (Kipma) 2022 Peringkat Negeri Sembilan dan Melaka yang diadakan di Seremban 2, Seremban hari ini. - FOTO/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Setelah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperoleh, ketika ini merupakan waktu penting buat lepasan peperiksaan tersebut memilih dan menentukan perjalanan pendidikan mereka selepas ini.

Tidak terkecuali buat pasangan kembar, Nur Aina Najla’ Md Azan, 18, dan Nur Aina Amirah Md. Azan yang masing-masing mendapat keputusan cemerlang dalam SPM baru-baru ini.

Kedua-duanya hadir ke Karnival Institusi Pendidikan Mara (Kipma) 2022 Peringkat Negeri Sembilan dan Melaka yang diadakan di Seremban 2.

Nur Aina Najla’ yang mendapat keputusan 12A dalam peperiksaan itu berkata, dia hadir ke karnival pendidikan tersebut bertujuan supaya dapat mengetahui peluang-peluang yang lebih baik buatnya untuk menyambung pelajaran selepas ini.

“Saya pada mulanya lebih berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang perfileman namun tidak sangka dapat keputusan yang cemerlang dalam SPM baru-baru ini.

“Oleh itu hari ini saya hadir untuk melihat pilihan dan bidang lain untuk melanjutkan pelajaran berdasarkan keputusan yang saya dapat tersebut,” katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas, Rembau.

Nur Aina Amirah pula berkata, seperti kakak kembarnya itu, dia juga mahu melihat program-program pendidikan yang ditawarkan dalam karnival tersebut khususnya berkaitan bidang perakaunan.

“Selepas mempelajarinya ketika sekolah menengah, saya semakin menggemari bidang perakaunan dan keputusan SPM baru-baru ini juga sangat baik. Tumpuan saya memang menjurus kepada bidang tersebut bagi menyambung pelajaran selepas ini,” katanya yang mendapat keputusan 7A dalam SPM.

Sementara itu, Karnival Institusi Pendidikan Mara (Kipma) 2022 Peringkat Negeri Sembilan dan Melaka itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Datuk Ismail Lasim.

Berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini, melibatkan kira-kira 20 pempamer antaranya terdiri daripada institusi-institusi pendidikan peringkat pengajian tinggi di bawah Mara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN