KANGAR: Disebalik kenyataan UMNO negeri sebelum ini yang mahu bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun Pas tetap tidak berputus asa mempertahankan Muafakat Nasional (MN) yang memberi manfaat besar dalam konteks penyatuan ummah.
Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya masih berharap kerjasama itu dapat diteruskan menjelang PRU15.
Dalam masa sama katanya, Pas negeri juga sedia menjadi orang tengah perundingan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) demi semangat penyatuan ummah.
“Jika dilihat hubungan Pas dan UMNO ini ada dua kelompok iaitu UMNO ‘Putrajaya’ yang lebih mahu melihat MN dipertahankan dan kelompok UMNO ‘PWTC’ yang mahu bergerak solo.
“Pas kekal berharap hubungan ini (MN) dapat diteruskan walaupun ada dalam kalangan UMNO melihat tidak perlu lagi MN. Penyatuan ummah disarankan di dalam al-Quran namun tiba-tiba ada yang menolaknya,” katanya dalam program Hi-Tea dan dialog bersama media Perlis di Kompleks Pas Kangar di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Penerangan Pas negeri, Muhammad Azmir Azizan: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim dan para pengamal media dari negeri ini.
Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, sekiranya menjelang penamaan calon PRU15, UMNO masih keras menolak kerjasama MN, maka Pas terpaksalah bertembung dengan parti itu.
“Terpaksalah kena lawan (UMNO) meskipun kita sedih jika penyatuan ummah ini tidak dapat diselamatkan. Pimpinan akan terus berusaha bagi memastikan penyatuan tersebut dapat diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai pembahagian kerusi bersama Perikatan Nasional (PN) di negeri ini, Mohd. Shukri berkata, perkara tersebut masih belum dibincangkan.
Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Sanglang itu berkata, Pas negeri sedia mengetengahkan lebih ramai calon muka baharu yang akan bergandingan dengan muka lama dalam PRU15.
“Mungkin lebih 50 peratus calon muka baharu dalam kalangan golongan muda akan diketengahkan. Kita akan kenal pasti dan pilih calon-calon ini sebelum dikemukakan kepada jawatankuasa pusat dan Majlis Syura,” katanya. – UTUSAN