Pas lawan jika UMNO 'degil' bergerak solo - Utusan Malaysia

Pas lawan jika UMNO ‘degil’ bergerak solo

ABDUL Hadi Awang (tengah) menyaksikan Mohd. Amar Nik Abdullah (dua kanan) menyerahkan replika cek sumbangan PKINK kepada kerajaan negeri yang diwakili oleh Ahmad Yakob di Kota Bharu, Kelantan malam tadi. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas sedia berlawan dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya parti itu terus berkeras untuk memutuskan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN).

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, mahu atau tidak Pas sudah biasa dan bersedia untuk berdepan UMNO jika parti itu mahu bergerak solo.

Menurutnya, Pas juga sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan terkini politik semasa sama ada bekerjasama dengan MN dan Perikatan Nasional (PN) termasuk bergerak sendiri.

“Bagaimanapun Pas, masih lagi berusaha dan berharap kerjasama dengan UMNO menerusi MN dapat terus dipertahankan sehingga ke PRU15,” katanya selepas ditemui pemberita pada Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKNIK) dan Pidato Ekonomi Sunnah ‘Penggerak Pembangunan  Ummah’ di sini malam tadi.

Majlis tersebut dirasmikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memberitahu, gesaan UMNO supaya meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika mahu meneruskan MN sukar untuk diterima oleh Pas.

Katanya, Pas berpegang kepada prinsip penyatuan ummah yang melibatkan semua parti-parti utama untuk kepentingan negara.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Pas tidak pernah berputus asa untuk mempertahan dan menyelamatkan MN yang kini seolah-olah ‘retak menanti belah’.

Bagaimanapun, sekiranya UMNO masih berkeras untuk bergerak solo PRU15, parti itu dan PN tidak ada pilihan selain terpaksa bertembung sesama sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN