Parti Bangsa Malaysia lebar sayap ke Sabah - Utusan Malaysia

Parti Bangsa Malaysia lebar sayap ke Sabah

ZURAIDA Kamaruddin (kanan) bersama Willie Mongin (kiri) semasa sidang akhbar sempena Anugerah Industri Koko Malaysia di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Banga Malaysia (PBM) sudah mula melebarkan sayap ke Sabah dengan penubuhan semua bahagian di kawasan Parlimen di negeri ini.

Presiden pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pada masa ini sebanyak 26 cawangan telah ditubuhkan dalam usaha PBM melebarkan sayap ke Sabah.

Malah, semasa pelancaran parti, mereka telah menubuhkan 190 bahagian di seluruh negara.

“Kita sudah ada struktur parti di Sabah yang dipengerusikan oleh Rahimah Majid. Sekarang kepimpinan di Sabah ada 26 bahagian.

“Ini adalah parti yang berasaskan akar umbi dan bukannya ditubuhkan daripada atas,” katanya pada Majlis Anugerah Industri Koko Malaysia semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin dan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Rahimah Majid.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang peluang PBM di Sabah dan keterbukaan parti itu dalam menerima ahli Parlimen Bebas.

Mengulas lanjut katanya, PBM sentiasa bersifat terbuka untuk menerima mana-mana ahli Parlimen Bebas yang ingin menyertai parti tersebut.

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, sesiapa sahaja dialu-alukan untuk menyertai parti itu kerana lebih banyak pemimpin sertai mereka maka, lebih kuat parti berkenaan.

Ditanya jika ada peluang untuk Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @ Jugah Muyang dan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat menyertai PBM, beliau berkata, PBM mengalu-alukan jika kedua-dua ahli Parlimen Bebas itu ingin menyertainya.

“Jika mereka mahu sertai saya, saya hargai tindakan mereka kerana itu akan memperkukuhkan lagi blok saya,” katanya.

Jugah menjadi ahli Parlimen Bebas selepas keluar daripada PKR pada 5 Jun 2020 manakala, Masir mengumumkan keluar Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 30 Mac lalu dan kekal sebagai ahli Parlimen Bebas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya