KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) memohon Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing meluluskan segera kemasukan pekerja asing dari Bangladesh bagi memenuhi kelompongan industri tempatan ketika ini.
PAPSMA turut menggesa kemasukan tersebut perlu melalui dasar dan polisi kerajaan yang mana peluang membawa masuk pekerja meliputi semua ahli Pertubuhan Ejen Rekrutmen Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) dan bukan hanya melibatkan segelintir agensi.
Presidennya, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid berkata, kerajaan seharusnya tidak lagi menangguhkan proses kemasukan pekerja Bangladesh bagi tujuan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebagaimana yang dimaklumkan pada akhir tahun lepas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), seramai 1.2 juta pekerja asing telah pulang ke negara mereka dan kini selepas program rekalibrasi serta program penyahan dilanjutkan sehingga Jun lalu menyebabkan jumlah itu meningkat ke 1.5 juta orang.
Dengan angka itu, kekurangan tenaga kerja di negara boleh dianggap melebihi dua juta pekerja asing dalam sektor-sektor yang kurang diminati oleh pekerja tempatan seperti sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).
Megat Fairouz berkata, persatuannya tidak mahu perkara sama seperti di era tahun 2015 hingga 2017 yang mana hanya disebabkan 10 agensi pekerjaan Bangladesh dipilih menyebabkan banyak masalah dan kerumitan sehingga kerajaan terpaksa membatalkan kemasukan pekerja dari negara tersebut pada tahun 2017.
Jelasnya, kemasukan pekerja daripada Bangladesh perlu diselaraskan seperti kemasukan pekerja asing daripada negara-negara lain.
“Mengapa hanya negara Bangladesh yang memerlukan agensi-agensi khas bagi tujuan kemasukan pekerja mereka jika dibandingkan dengan kesemua negara sumber yang lain walaupun negara itu jatuh dalam kategori negara sumber sejak beberapa tahun lalu?,” katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu menyegerakan proses kemasukan bagi tujuan memenuhi hasrat dan kehendak industri serta agensi perladangan khususnya yang kini tenat tanpa pekerja asing hingga menyebabkan ekonomi negara merundum.
Untuk rekod, melalui kenyataan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) pada bulan Februari lepas, negara kehilangan sebanyak RM1 bilion setiap hari.
Hal ini terjadi ekoran buah kelapa sawit tidak dapat dituai mengikut masa yang sepatutnya akibat kekurangan pekerja asing sejak tiga tahun lalu.
Perkara ini menyebabkan negara telah jatuh ditangga antarabangsa sebagai pengeksport buah dan minyak kelapa sawit sekaligus menyebabkan negara mengalami kerugian berbilion ringgit. – UTUSAN










